Translate

Pengambilan ubat penahan sakit untuk jangka panjang jejaskan jantung

PENGGUNAAN ubat penahan sakit dengan dos yang tinggi dalam tempoh jangka panjang boleh meningkatkan risiko serangan sakit jantung.
Ubat dalam kumpulan yang bukan steroid berdos tinggi diketahui akan meningkatkan risiko serangan jantung, strok atau kematian akibat sakit jantung.
Satu kajian yang disiarkan dalam jurnal Lancet mendapati ubat tersebut memberi risiko yang tinggi ke atas para perokok dan pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan.
Menurut seorang penyelidik dari Universiti Oxford, Profesor Colin Baigent, pesakit yang mengambil ubat untuk jangka pendek tidak sepatutnya berasa bimbang dengan risiko itu.
Tekanan darah tinggi, kolesterol dan menghisap rokok akan meningkatkan risiko untuk menghadapi masalah sakit jantung.
Dalam kajian yang dilakukan itu, perangkaan menunjukkan bagi setiap 1,000 orang yang mengambil ubat tersebut, akan berlaku tiga serangan sakit jantung, empat kes kegagalan jantung dan satu kematian termasuk kes perut berdarah.
Justeru, bilangan serangan jantung akan meningkat dari lapan pesakit untuk setiap 1,000 orang kepada 11 pesakit bagi setiap 1,000 orang yang mengambil ubat tersebut pada setiap tahun.
Baigent berkata, jika seseorang itu mempunyai risiko sebanyak dua kali ganda untuk mendapat sakit jantung, dia juga mempunyai kebarangkalian yang sama untuk diserang sakit jantung.
Menurutnya, para pesakit perlu menimbangkan cara bagi mengurangkan risiko untuk diserang sakit jantung.
Kajian itu dibiayai Majlis Penyelidikan Perubatan dan Yayasan Jantung Britain. 

No comments: