hafiza@bharian.com.my
DIANGGARKAN seorang daripada 10 orang dewasa berdepan dengan pelbagai bentuk kerosakan buah pinggang di seluruh dunia. Di Malaysia saja, daftar pendermaan organ dan dialisis bagi 2006 menyebut jumlah pesakit yang memerlukan dialisis meningkat secara dramatik sejak 20 tahun lalu.
Setiap tahun lebih 2,500 orang berada pada tahap akhir kegagalan buah pinggang (ESRD), iaitu jumlah yang menyaksikan lebih ramai memerlukan rawatan mesin dialisis.
Sekitar 1980, hanya 43 orang memerlukan bantuan dialisis tetapi pada 2006 jumlah itu meningkat menjadi 3,152 orang. Satu daripada punca peningkatan ini, tentu saja disebabkan kenaikan jumlah pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi.
Malah 55 peratus daripada kegagalan buah pinggang tahap yang serius berpunca daripada diabetes mellitus. Keadaan ini jika tidak dikesan dan dirawat sebaiknya membawa kepada kegagalan buah pinggang dan akhirnya kematian.
Begitupun, senario di Malaysia ketika ini hanya separuh daripada mereka yang didiagnosis dengan diabetes menjalani ujian mengesan masalah buah pinggang. Sebahagian lagi tidak berbuat demikian.
Kerosakan buah pinggang adalah masalah yang progresif. Ia tidak boleh disembuhkan dengan hanya memakan ubat. Rawatan ketika ini ialah dialisis (haemodialisis dan peritoneal dialisis), selain pemindahan organ. Antara tiga kaedah rawatan itu, pemindahan organ adalah rawatan kekal. Bagaimanapun, ia hanya dikhususkan kepada kes yang sangat serius. Namun disebabkan jumlah penderma organ yang terhad, ia bukanlah pilihan yang popular di Malaysia.
Simptom
-Perubahan pola membuang air kecil.
-Kerap bangun malam untuk buang air kecil
- Air kencing berbuih
- Kerap kencing tetapi jumlahnya sedikit
- Air kencing berdarah
- Berasa tekanan untuk kencing atau susah untuk kencing
-Bengkak pada muka, kaki, buku lali atau tangan
-Letih
-Ruam pada tubuh atau rasa gatal
-Loya dan muntah
-Sesak nafas
-Rasa sejuk
-Pandangan berpinar dan sukar fokus.
INFO: Kegagalan Buah Pinggang (ESRD)
Di Malaysia, lebih 2,500 orang berdepan dengan ESRD atau 100 orang dalam sejuta populasi.
Di Pulau Pinang saja, kadar rawatan mencecah hingga 181 pesakit dalam sejuta orang.
Kajian pada 2006 mendapati ada 14,946 pesakit ketika ini bergantung pada mesin dialisis.
Kebergantungan pada dialisis adalah dua kali ganda, iaitu 52 orang pada 1997 menjadi 104 pada 2003. Sejak itu ia meningkat kepada 110 untuk sejuta populasi.
Kes baru dialisis pada 2006 ialah 3,152 pertambahan lebih 50 peratus daripada jumlah pesakit buah pinggang yang direkodkan pada 2000.
Sumber : http://www.freedomtolive.com.my
No comments:
Post a Comment