Translate

Pengambilan ubat penahan sakit untuk jangka panjang jejaskan jantung

PENGGUNAAN ubat penahan sakit dengan dos yang tinggi dalam tempoh jangka panjang boleh meningkatkan risiko serangan sakit jantung.
Ubat dalam kumpulan yang bukan steroid berdos tinggi diketahui akan meningkatkan risiko serangan jantung, strok atau kematian akibat sakit jantung.
Satu kajian yang disiarkan dalam jurnal Lancet mendapati ubat tersebut memberi risiko yang tinggi ke atas para perokok dan pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan.
Menurut seorang penyelidik dari Universiti Oxford, Profesor Colin Baigent, pesakit yang mengambil ubat untuk jangka pendek tidak sepatutnya berasa bimbang dengan risiko itu.
Tekanan darah tinggi, kolesterol dan menghisap rokok akan meningkatkan risiko untuk menghadapi masalah sakit jantung.
Dalam kajian yang dilakukan itu, perangkaan menunjukkan bagi setiap 1,000 orang yang mengambil ubat tersebut, akan berlaku tiga serangan sakit jantung, empat kes kegagalan jantung dan satu kematian termasuk kes perut berdarah.
Justeru, bilangan serangan jantung akan meningkat dari lapan pesakit untuk setiap 1,000 orang kepada 11 pesakit bagi setiap 1,000 orang yang mengambil ubat tersebut pada setiap tahun.
Baigent berkata, jika seseorang itu mempunyai risiko sebanyak dua kali ganda untuk mendapat sakit jantung, dia juga mempunyai kebarangkalian yang sama untuk diserang sakit jantung.
Menurutnya, para pesakit perlu menimbangkan cara bagi mengurangkan risiko untuk diserang sakit jantung.
Kajian itu dibiayai Majlis Penyelidikan Perubatan dan Yayasan Jantung Britain. 

Minyak ikan dapat mengurangkan kesan makanan ringan

MAKANAN ringan perlu dielakkan kerana ia mengandungi kalori yang tinggi dan menyebabkan berat badan berlebihan.
Jika sukar untuk mengatasi godaan makanan itu, ada baiknya anda mula melakukan rutin dengan mengambil minyak ikan sebagai makanan tambahan.
Seorang penyelidik dari Universiti Liverpool telah melakukan kajian terhadap sumbangan minyak ikan yang mengandungi asid omega-3 bagi mengurangkan kesan terhadap pengambilan makanan ringan.
Ketua Penyelidik dari Institut Penuaan dan Penyakit Kronik di Universiti Liverpool, Dr. Lucy Pickavance memberitahu, berat badan dipengaruhi oleh banyak faktor.
Menurutnya, salah satu faktor terpenting yang mempengaruhi pertambahan berat badan adalah kerana pengambilan makanan.
"Pengambilan makronutrien yang berlebihan, gula kilang dan lemak tepu yang terdapat dalam makanan ringan menyebabkan peningkatan berat badan, mengganggu kadar metabolisme selain memberi kesan ke atas otak.
"Perubahan itu dapat dilihat pada struktur otak, termasuk kemampuan untuk melakukan proses pembentukan sel saraf yang baharu. Ia menyebabkan obesiti dan mempunyai kaitan dengan kehilangan fungsi saraf," katanya.
Menurut Pickavance, minyak ikan kelihatan tidak menyebabkan penurunan berat badan secara langsung.
Bagaimanapun, katanya, minyak ikan mungkin menghalang kesan-kesan buruk yang berlaku di dalam otak akibat pengambilan diet yang mempunyai kandungan lemak tinggi. Menurutnya, pengambilan diet yang mempunyai minyak ikan atau makanan tambahan ikan merupakan langkah yang positif ke arah untuk memperbaiki tahap kesihatan.